Kanak-Kanak 3 Tahun Ditemui Mati Terjatuh Dalam Lubang Kumbahan Ketika Sedang Bermain

Kejadian telah berlaku di Kuarters Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh pada hari ini, 8 Oktober kira-kira jam 8 pagi.

Hari ini sebuah keluarga telah dikejutkan dengan berita kehilangan anak dan adik bongsu yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan ketika bermain bersama adik-beradik yang lain

Kanak-kanak tiga tahun itu dikenali sebagai Muhamad Anas Hadif dipercayai terjatuh ke dalam lubang kumbahan di Kuarters Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh hari ini, 8 Oktober ketika sedang bermain bersama abang-abangnya.

Ketika kejadian, bapa mangsa iaitu Lans Koperal Ahmad Hafiz Mustafa, 32, dan isteri Sofiah Mohd Teridi, 32, berada di dalam rumah kuarters berkenaan. Mereka dikejutkan dengan jeritan anak ketiganya lalu terus keluar untuk melihat apa yang berlaku. Dia juga mendapati anak bongsunya itu tiada bersama abangnya yang lain.

Bapa mangsa menyangka bahawa anak bongsunya itu telah dilanggar oleh kereta selepas mendengar jeritan tersebut

Lokasi kejadian.

Image via Harian Metro

Dia kemudian bergegas untuk memeriksa sekeliling dan turut melihat lubang kumbahan yang mana lubang penutupnya sudah terbuka. Malah, selipar yang dipakai anaknya juga dilihat terapung di dalam air kumbahan berkenaan.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati seorang kanak-kanak lelaki terjatuh ke dalam lubang kumbahan. Mereka terpaksa menggunakan pam untuk mengeluarkan air kumbahan bagi memudahkan mayat mangsa keluar.

Turut difahamkan, mangsa telah meninggal dunia akibat lemas di dalam lubang kumbahan berkenaan.

Abang sulungnya, Mohamad Syafiq kelihatan begitu sebak sebaik tiba di hospital. Dia merapatkan dirinya ke dinding dan menangis sebelum ditenangkan oleh ahli keluarganya.

Image via Harian Metro

Menurut laporan, tiga abangnya yang lain iaitu Mohamad Syafiq Ahmad Hafiz,10, Muhamad Syakir Zufairi, 7, dan Muhamad Asyraf, 6, meraung selepas dibawa untuk melihat jenazah adik bongsu mereka di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Kehilangan kanak-kanak ini amat dirasai oleh keluarga mereka kerana anak serta adik bongsu mereka itu merupakan seorang yang manja serta tidak boleh berenggang dengan ibu mereka.

Mereka sekeluarga dikatakan baru sebulan tinggal di kuarters berkenaan selepas ditukarkan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Manjung ke Bahagian Kem Komandan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Lans Koperal Ahmad Hafiz Mustafa, 32, (tengah) bersama isterinya, Sofiah Mohd Teridi, 32, memangku jenazah anaknya, Muhamad Anas Hadif, 3, keluar selepas dikapankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Image via Harian Metro

Tidak dinafikan, kejadian ini memang begitu perit dan menyedihkan untuk diterima oleh ahli keluarga mereka, namun bapa mangsa menjelaskan bahawa dia redha kerana Allah lebih menyayangi anaknya.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Leave a comment